Warkah Terbuka Kepada DYMM SPB YDPA
Mutakhir ini kepimpinan cabang eksekutif negara berada dalam kekalutan akibat
peletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Patik memohon
izin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan dengan penuh hormat dan rendah
diri pandangan kepada DYMM Tuanku.
Sesungguhnya patik yakin dan percaya, kearifan DYMM Tuanku dalam hal ini pasti
mampu memberikan jalan keluar yang seadilnya.
Patik berpandangan bahawa perilaku Tun Mahathir dalam kemelut ini adalah tidak
wajar. Malah, dalam aspek tertentu kelihatan sangat mencabar bidang kuasa DYMM
Tuanku dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Pertama, tindakan Tun Mahathir mengganggu kuasa dan budi bicara DYMM Tuanku
dalam melantik Perdana Menteri atau Membubarkan Parlimen.
Hal ini jelas melihat kepada tindakan Tun Mahathir yang nampaknya mendahului
Istana dengan mengusulkan atau memberikan andaian bahawa, jika dibenar, beliau
akan menjadi Perdana Menteri kepada sebuah kerajaan campuran, yang tidak
berasaskan parti dan kepentingan politik.
Tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan sangat tidak menghormati proses
penentuan Perdana Menteri, yakni calon yang diyakini mempunyai sokongan dan
kepercayaan majoriti, yang masih dalam kiraan dan pertimbangan oleh pihak DYMM
Tuanku.
Kedua, Tun Mahathir adalah seorang Perdana Menteri Interim yang mempunyai had
dan bidang kuasa terhad.
Namun, tindakan beliau tidak menggambarkan bidang kuasa yang terhad dan
sementara. Sebaliknya, beliau bertindak seperti seorang Menteri yang berkuasa
penuh untuk melantik kabinet dan mengadakan sidang Parlimen.
Ketiga, kuasa melantik adalah bersama DYMM Tuanku selaku Yang di-Pertuan
Agong (YDPA).
Sudah pasti Tun Mahathir sedar, bukan Parlimen yang menentukan atau melantik
Perdana Menteri.
Adalah tidak tepat untuk Tun Mahathir terus memberikan gambaran bahawa beliau
adalah Perdana Menteri berkuasa penuh yang mesti kekal kerana mempunyai
sokongan majoriti di Parlimen. Ini kerana, kuasa melantik Perdana Menteri adalah
sepenuhnya di bawah YDPA dan bukannya Parlimen seperti yang dicadangkan oleh
Tun Mahathir.
Saranan beliau bahawa pelantikan Perdana Menteri adalah ditentukan oleh Parlimen
adalah salah, tidak mempunyai asas undang-undang, mencabar lunas keluhuran
Perlembagaan dan sangat tidak menghormati kuasa dan fungsi YDPA dalam melantik
Perdana Menteri.
Sedangkan, sekiranya KDYMM Tuanku tidak yakin bahawa seseorang pemimpin itu
mempunyai kepercayaan dan sokongan dewan, yang lebih molek adalah untuk
DYMM Tuanku membubarkan Parlimen. Bukannya menyerahkan tugas dan kuasa
melantik Perdana Menteri tersebut kepada Parlimen.
Patik percaya bahawa DYMM Tuanku akan bertindak dengan cara yang mengangkat
kepentingan rakyat jelata dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Patik yakin bahawa tindakan dan perilaku yang ditonjolkan oleh Tun Mahathir nyata
bertujuan menjaga kepentingan politik beliau secara peribadi dan kepentingan rakanrakan
politiknya dalam parti. Bukannya demi kepentingan rakyat dan negara ini.
Semoga pandangan patik ini akan diperhalusi dan diberikan perhatian oleh DYMM
Tuanku.
Menjunjung kasih Tuanku.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
28 Februari 2020
No comments:
Post a Comment